Monday, April 28, 2008

Friday, April 25, 2008

OTOSIL - MESIN PENGELUARAN SILAJ DARI BAHAN SISA PERTANIAN

Malaysia masih lagi merupakan negara pengeluar minyak kelapa sawit dunia. Negara mempunyai keluasan penanaman sawit lebih dari 4.3 juta ha. Keluasan ini dijangka meningkat setiap tahun. Selain dari minyak sawit, pokok kelapa sawit dikenali sebagai pokok serbaguna. Bahan sisa dari industri ini seperti PKC dan pelepah sawit telah disahkan oleh MARDI sesuai bagi makanan ternakan ruminan. Pengeluaran makanan ternakan lengkap dari pelepah kelapa sawit dalam bentuk pelet telah dimulakan secara komersil beberapa tahun yang lalu, namun demikian proses ini melibatkan kos yang tinggi iaitu kos pengeringan yang menyumbang hampir 30% kepada kos pengeluaran. Alternatif terbaik bagi mengatasi masalah ini ialah mengeluarkan makanan dari pelepah kelapa sawit dalam bentuk basah iaitu silaj.

Pengeluaran silaj dari pelepah kelapa sawit telah dimulakan lebih 10 tahun yang lalu, namun demikian pengeluaran secara manual menyebabkan ia tidak produktif dan efektif. Rekacipta OTOSIL telah membawa era baru dalam pengeluaran silaj secara mekanikal di Malaysia. Pengeluaran silaj dari pelepah kelapa sawit kini lebih mudah, murah dan mempunyai masa depan yang cerah. OTOSIL bukan hanya terhad kepada pengeluaran silaj dari pelepah kelapa sawit, tetapi ia juga terbukti praktikal bagi pengeluaran silaj dari bahan sisa pertanian yang lain seperti batang jagung, jerami padi dan berbagai jenis rumput.

ASAS PERTIMBANGAN

Industri ternakan komersil di Malaysia masih bergantung kepada sumber makanan impot bagi memenuhi keperluan tempatan. Penekanan kepada penggunaan sumber makanan tempatan penting bagi menyelamat pertukaran wang asing yang besar dalam industri ini. Harga PKC kini meningkat secara mendadak. Permintaan PKC diluar negara juga meningkat. Oleh yang demikian, minat kearah penggunaan pelepah kelapa sawit sebagai alternatif kepada PKC kini semakin meningkat.

OTOSIL, mesin pengeluar pelepah kelapa sawit dalam tong plastik bermuatan antara 60-150 kg. OTOSIL dilengkapi dengan alat pemotong, alat pemampat serta alat penyuntik bahan aditif dan bakteria secara otomatik. Kajian menunjukkan OTOSIL boleh menghasilkan silaj pelepah kelapa sawit 63% lebih cekap berbanding dengan kaedah manual. Kos pengeluaran dapat dikurangkan paling minimum 27% manakala kualiti silaj juga dapat ditingkatkan sehingga 12%. Kajian menunjukkan bahawa pelepah kelapa sawit boleh digunakan sehingga 40% dari keperluan harian lembu pedaging. Penggunaan makanan ini dapat menjimatkan sejumlah besar kos pengeluaran.


IMPLIKASI

Teknologi OTOSIL dijangka akan memberi impak yang besar kepada industri ternakan ruminan negara. Penggunaan pelepah kelapa sawit sebagai sumber utama makanan ternakan ruminan boleh menjimatkan antara 20- 30% dari kos makanan. Mengikut statistik 2006, bilangan ternakan ruminan di Malaysia ialah 0.945 juta ekor (lembu) dan 0.369 juta ekor (kambing). Dianggarkan 36 juta tan setahun pelepah kelapa sawit dipotong. Jika hanya 1% sahaja ditukarkan kepada makanan ternakan, ia memberi pulangan pendapatan ratusan juta ringgit.

Pengeluaran silaj dari pelepah kelapa sawit dengan menggunakan teknologi OTOSIL boleh membuka peluang perniagaan dan pekerjaan baru dalam industri ternakan negara. Penggunaan OTOSIL bukan terhad kepada penternak tetapi tetapi kepada usahawan yang ingin melabur dalam industri pengeluaran makanan ternakan. Silaj boleh dipasarkan dalam tong plastik. Sebagaimana dalam perniagaan gas masak, pengguna akn mengembalikan tong kosong bila memperolehi bekalan silaj baru. Kiraan unjuran pendapatan menunjukkan bahawa perniagaan silaj pelepah kelapa sawit dengan menggunakan teknologi OTOSIL adalah berdayamaju. Berasaskan kepada kapasiti pengeluaran 1680 tan setahun, nilai IRR dicapai pada 30%, NPV pada RM 236,634.00, BCR pada kadar 1.2 serta kadar pulangan balik pada 3.8 tahun.